Permainan bola tampar diperkenalkan kira-kira seratus sepuluh tahun (110 tahun) yang lalu, iaitu pada tahun 1895. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya ialah William G. Morgan. Beliau telah memperkenalkan permainan tersebut di Holyoke, Massachussetts, Amerika Syarikat. Ketika itu beliau mendapati permainan bola keranjang agak lasak dan bercadang untuk memperkenalkan permainan yang seumpamanya tetapi kurang lasak. Pada mulanya, permainan ini dinamakan ‘Mintonette’, tetapi ditukar kepada ‘volley ball’ kerana permainan tersebut banyak menggunakan pergerakan secara lambung atau lambungan. Permainan tersebut menjadi agak popular. Tambahan pula ia menggunakan tiub bola keranjang yang lebih lembut dan dapat mengurangkan kecederaan dan kesakitan pada tangan para pemain.
Permainan ini mula dipopularkan di luar Amerika Syarikat pada 1900 di Kanada, Cuba 1905, Puerto Rico 1909, Filiphina 1910, Uruguay 1912, China 1913 dan Jepun 1917. Ia terus berkembang selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, terutamanya oleh tenteratentera Amerika Syarikat. Pertubuhan Bola Tampar Antarabangsa ditubuhkan di Paris pada tahun 1947. Kejohanan Antarabangsa Pertama pula diadakan pada tahun 1949, iaitu hanya untuk kaum lelaki sahaja. Hanya pada tahun 1952, kejohanan tersebut membuka penyertaan kepada kaum wanita. Permainan ini kemudian maju setapak lagi apabila diterima dan dipertandingkan di Sukan Olimpik, pada tahun 1964. Di Malaysia, permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1927. Persatuan Bola Tampar Amatur Malaysia atau MAVA ditubuhkan pada tahun 1959.
No comments:
Post a Comment